Umum

SPRM sahkan sita Menara Ilham

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menyita Bangunan Menara Ilham, yang dilaporkan media dimiliki oleh keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pada hari Isnin.

Menurut laporan media, satu notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 telah dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih, selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.

“Menurut Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009, mana-mana orang yang melanggar kehendak notis ini atau melakukan apa-apa perbuatan yang menghasilkan, atau menyebabkan, pelanggaran terma notis ini adalah melakukan suatu kesalahan.

“Dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua kali ganda nilai harta yang berkenaan atau RM50,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” menurut notis itu lagi.

Menara Ilham merupakan pencakar langit terletak di Jalan Binjai di ibu negara dan bangunan 60-tingkat itu merupakan antara yang tertinggi di Malaysia.

PALING POPULAR

To Top