Seorang polis berpangkat inspektor yang direman berhubung kes merogol seorang peniaga kosmetik dalam talian mendakwa, memanggil mangsa untuk tujuan siasatan kes pemerasan bahan lucah.
Menurut Ketua Polis Kelantan Muhammad Zaki Harun, suspek memanggil wanita 23 tahun itu sebagai saksi untuk siasatan kes pemerasan bahan lucah membabitkan rakannya.
Katanya, mangsa kemudian mendakwa dirogolnya ketika proses siasatan.
“Kita sudah mendapatkan bukti fizikal untuk dihantar ke unit forensik dan mengambil semua barangan di lokasi kejadian bagi tujuan siasatan,” katanya dilaporkan Harian Metro.
Beliau turut berkata suspek boleh digantung kerja jika terbukti bersalah kerana tindakan tatatertib lebih tegas akan dikenakan, apabila kes membabitkan anggota dan memberi impak kepada imej polis.
Terdahulu, Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi membenarkan permohonan reman ke atas inspektor 38 tahun itu selama tujuh hari hingga Isnin depan untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.