Umum

Lelaki warga Israel miliki 6 senjata api ditahan polis di KL

Gambar Hiasan

Polis menahan seorang lelaki warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang dengan turut merampas 6 senjata api bersama 200 butir peluru.

Menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain, suspek itu mendakwa menyasarkan seorang lagi rakyat Israel atas alasan pertelingkahan keluarga, bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Razarudin berkata suspek mendakwa membeli semua senjata api melibatkan pelbagai model termasuk Sig Sauer, Glock-27, dan Smith and Wesson, kesemua transaksi menggunakan mata wang kripto ketika di Malaysia.

Susulan penahanan itu, polis meningkatkan kawalan keselamatan ke atas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan orang kenamaan lain, di tengah-tengah sokongan tidak berbelah bahagi negara ke atas Palestin terhadap serangan berterusan Israel di Gaza.

“Kebimbangan kita berdasarkan isu Palestin-Israel, kita juga waspada terutama keselamatan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai, orang kenamaan yang kita perlu ambil kira,” katanya dilaporkan media.

Razarudin juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai “agenda lain”.

Siasatan polis juga menumpukan kepada sama ada suspek benar-benar ejen Israel kerana dia dipercayai tidak beroperasi bersendirian.

Polis masih menyiasat pihak menjual senjata dan bagaimana ia diseludup ke Malaysia.

Razarudin berkata, siasatan mendapati lelaki itu masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis dan ketika disoal lanjut, dia menyerahkan pasport Israel.

“Kita dapati suspek mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Mac dari Emiriah Arab Bersatu. Dia mendakwa sedang mencari seorang lelaki Israel, yang dikatakan untuk dibunuh kerana pertelingkahan keluarga,” katanya.

Razarudin berkata, lelaki Israel itu menginap di tiga hotel berasingan sebelum ditahan.

Lelaki berkenaan direman sehingga 31 Mac.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top