Umum

Lelaki bakar mercun tengah jalan ditahan polis

Gambar Hiasan

Seorang pembantu bengkel yang disyaki membakar mercun di tengah jalan raya, ketika perarakan pengebumian berdekatan sebuah pasar raya di Banting, telah ditahan polis pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang di sekitar kawasan Banting dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Beliau berkata, lelaki terbabit mengambil bahagian dalam perarakan itu bersama beberapa penunggang motosikal lain, dan bertindak menahan kenderaan orang awam dan membakar mercun di jalan raya.

“Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut, dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, bahagian trafik IPD Kuala Langat juga mengeluarkan tiga saman terhadap suspek berkaitan kesalahan lalu lintas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini giat mengesan dua lagi suspek dipercayai terlibat kejadian itu yang tular di media sosial,” katanya

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan mercun dibakar di sebuah persimpangan lampu isyarat.

PALING POPULAR

To Top