Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melaksanakan sekatan perjalanan ke atas seramai 182,666 individu yang mempunyai tunggakan cukai setakat 29 Februari lepas.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, 171,571 kes itu melibatkan individu yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan, manakala 11,095 kes membabitkan individu yang mempunyai tunggakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).
Kata beliau, secara umumnya sebelum sebarang tindakan sekatan perjalanan dikuatkuasakan, pihak LHDN akan melakukan tindakan awal terhadap pembayar cukai dengan menghantar beberapa surat peringatan mengenai tuntutan bayaran tunggakan cukai dan menghantar emel pemakluman tunggakan cukai serta menghubungi pembayar cukai terbabit.
“Kegagalan menyelesaikan bayaran tunggakan cukai mengikut tempoh ditetapkan akan mengakibatkan pembayar cukai berdepan dengan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Ros Suryati Alang yang bertanya mengenai statistik bilangan kes sekatan perjalanan dilaksanakan oleh LHDN kepada individu yang tidak menjelaskan pembayaran cukai.
Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai melalui portal MyTax, selain membuat semakan sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya terdapat sekatan yang dikuatkuasakan oleh agensi-agensi lain.
Lim berkata sekiranya pembayar cukai disekat semasa di lapangan terbang, pegawai imigresen akan merujuk pembayar cukai kepada pegawai perhubungan awam LHDN untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi tujuan pelepasan ke luar negara.
“Berdasarkan hasil rundingan antara pembayar cukai dan pegawai perhubungan awam LHDN, pelepasan akan diberikan dengan segera selepas kaedah penyelesaian tunggakan cukai dipersetujui, sama ada pembayaran sebahagian atau sepenuhnya,” katanya.