Umum

Daftar Padu mungkin dibuka semula untuk tempoh singkat sekiranya perlu

Kementerian Ekonomi tidak menolak kemungkinan buka semula pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (Padu) untuk suatu tempoh singkat selepas kerajaan memutuskan mekanisme subsidi bersasar sekiranya ada keperluan.

Menterinya Rafizi Ramli berkata kementeriannya akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada Jemaah Menteri bulan ini selepas selesai proses pendaftaran Padu yang tamat pada 31 March lalu.

“Sebarang pengumuman berkenaan hal ini akan diumumkan oleh kerajaan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Tempoh pendaftaran Padu yang dibuka selama tiga bulan, Rafizi melaporkan sejumlah 17.65 juta orang atau 58.7% warganegara ini telah mendaftar.

“Seramai 11.55 juta (52.6%) warganegara berumur atas 18 tahun berjaya mendaftar dan mengemaskini profil diri di sistem Padu, menjadikan 17.65 juta (58.7%) keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, berjaya dikemaskini di sistem Padu,” katanya.

Perlis merekodkan pendaftaran tertinggi dengan 66.9%, diikuti Kelantan (65.2%); Terengganu (62.7%), dan Perak (60.3%); manakala negeri terendah mendaftarkan Padu adalah Selangor (44.5%).

Padu yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas berperanan untuk memastikan mereka yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada inisiatif kerajaan.

Ia akan jadi sumber rujukan utama semua agensi kerajaan dalam membuat keputusan, untuk menambah baik kecekapan penyampaian dan perbelanjaan.

Bagi yang tidak berjaya mendaftar dan mengemaskini maklumat di Padu, Rafizi berkata data pentadbiran sedia ada adalah mencukupi dan kerajaan akan menggunakan data sedia ada untuk menentukan kelayakan individu yang tidak mendaftar Padu, bagi tujuan penyasaran subsidi.

 

 

PALING POPULAR

To Top