Umum

Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari Umno Selangor

Tengku Zafrul Aziz meletak jawatan bendahari Umno Selangor bagi memberi laluan kepada individu yang boleh menyumbang lebih efektif terhadap kebangkitan parti di negeri itu.

Menurut beliau, ketika dilantik sebagai bendahari Umno negeri pada April 2023, matlamat utamanya ialah menyumbang kepada kebangkitan parti di Selangor.

“Pendekatan dan prinsip saya mudah: kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan, maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan.

“Malah, lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif,” katanya dalam catatan Facebook sambil menambah beliau akan terus mengetuai Umno Bahagian Kota Raja dan menganggotai Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Menurutnya, amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak di Selangor kerana tanpa kedudukan kuat di negeri itu, ia sukar digelar parti nasional atau parti bagi masa depan.

“Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya dirangka dengan ketetapan sesuai dengan realiti semasa. Keputusan PRN Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas sesuatu perubahan perlu dilaksanakan segera.”

Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi ditandinginya dalam PRN enam negeri pada Ogos 2023, kurang daripada 18%.

 

PALING POPULAR

To Top