Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan peruntukan RM300,000 kepada kerajaan Melaka untuk membina litar kereta kawalan jauh bertaraf antarabangsa.
Menurut Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka telah menjalankan kajian dan mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk pelaksanaan projek tersebut.
Cadangan pembinaan litar yang telah diusahakan sejak November tahun lepas depan di tapak berkeluasan 1 hektar berhampiran Pantai Tanjung Bidara.
“Saya akan cuba dapatkan lagi penaja bagi merealisasikan kewujudan litar kekal RC di tapak seluas 2.5 ekar ini di samping menaik taraf gerai untuk menambah tarikan pelancongan Pantai Tanjung Bidara,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Kereta Kawalan Jauh Piala Ketua Menteri Melaka.
Ab Rauf berkata, litar tersebut juga akan menjadi pusat latihan buat peminat sukan itu, selain mampu merancakkan industri pelancongan di Pantai Tanjung Bidara.
Katanya, kerajaan negeri turut bercadang membangunkan pusat kenderaan rekreasi (RV) berhampiran kawasan pantai peranginan itu, serta berusaha menaik taraf kemudahan, termasuk gerai-gerai untuk menarik kedatangan pelancong.
“Dengan adanya pelbagai kemudahan di situ, ia pastinya dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Pantai Tanjung Bidara pada masa akan datang, dan secara tidak langsung merancakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.