Umum

Cubaan merampas senjata anggota di Balai Polis, seorang lelaki ditahan

Gambar FMT

Seorang lelaki yang dipercayai cuba menyerang dan merampas senjata seorang anggota di Balai Polis Dato Keramat di George Town, Pulau Pinang telah ditahan.

Menurut laporan Berita Harian, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, suspek yang menunggang motosikal, menghampiri seorang anggota polis yang berkawal di pintu pagar dan meminta untuk masuk.

Suspek dilaporkan tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota berkenaan selepas ditanya tujuannya dan terus menceroboh masuk ke perkarangan balai berkenaan.

Menurut sumber akhbar itu, anggota berkenaan cuba menenangkan lelaki itu tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.

Katanya, suspek juga cuba merampas submesingan jenis HK MP5 milik anggota berkenaan namun gagal.

Suspek berjaya ditangkap selepas seorang lagi anggota polis datang membantu. Lelaki itu juga mengalami kecederaan di muka dan tangan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Lelaki itu juga dilaporkan berada dalam keadaan mabuk tetapi saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad memberitahu Berita Harian pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Kejadian ini merupakan yang kedua membabitkan balai polis, selepas insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang telah melibatkan 3 maut termasuk 2 anggota polis selepas seorang lelaki menyerang balai polis tersebut.

 

PALING POPULAR

To Top