Umum

Rakan tempatan ‘Formula E’ tarik diri anjur perlumbaan Grand Final di Malaysia

Gambar Facebook

Malaysia tidak akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Grand Final Formula E-Prix susulan permintaan kewangan awal mengejutkan daripada pemilik kejuaraan dunia perlumbaan kereta elektrik itu.

Menurut laporan media, Formula E yang mahukan penganjuran perlumbaan itu dilakukan di Litar KL City membuat penawaran yang kurang menyenangkan termasuk peningkatan mendadak bayaran hak, selain kenaikan luar jangka dalam caj komersial.

Rakan tempatan Formula E, Sports Tech Holdings membuat keputusan memindahkan venue dari Litar KL City ke Litar Antarabangsan Sepang (SIC) dengan mengambil kira cabaran teknikal di litar jalanan dalam bandar raya itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sports Tech Wan Agyl Wan Hassan, bayaran perlumbaan baharu melangkaui kapasiti kewangan pihaknya, dan tidak mahu memberi beban kewangan kepada kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan nilai diminta Formula E sebagai menghormati perjanjian antara dua pihak.

Awal tahun ini, Sports Tech berjaya memperoleh hak bersyarat daripada Formula E bagi menguruskan perlumbaan terakhir sehingga 2030, dengan sasaran mengubah persepsi kereta elektrik dan mempercepat penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Diunjurkan, penganjuran grand final tahun depan mampu menyuntik RM157.5 juta kepada ekonomi tempatan menerusi perbelanjaan pengunjung selain mewujudkan lebih 10,000 peluang kerja.

Ia juga diramal mampu menyumbang RM6.73 bilion kepada ekonomi negara dalam tempoh sedekad akan datang.

PALING POPULAR

To Top