Pemilik sebuah resort di Pulau Lang Tengah dipanggil memberi penjelasan esok susulan penularan beberapa gambar, video dan poster penganjuran parti liar di destinasi peranginan itu.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Razali Idris, pertemuan itu turut membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta, kita akan bertindak.
“Kita akan teliti terlebih dahulu jawapan daripada pihak premis swasta tersebut, sebelum apa-apa tindakan diambil, sama ada salah dari segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit,” katanya menurut Sinar Harian memetik portal rasmi kerajaan Terengganu.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan penganjuran sebuah parti liar dengan wanita berpakaian seksi di Pulau Lang Tengah yang mencetuskan perbincangan hangat serta kritikan dan kecaman pelbagai pihak.
Menerusi tinjauan di media sosial, kebanyakan pihak berpendapat parti tersebut yang digelar “Aloha Party” tidak sesuai diadakan, selain membawa imej yang kurang menyenangkan untuk negeri itu.
Razali meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.
“Jika ada bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terlibat dalam parti itu, boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut.”