Umum

Sabah tolak cadangan perlaksanaan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani

Gambar Facebook

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan berkata Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) tidak akan dilaksanakan di negeri itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri Sabah sudah mempunyai inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, dan ia tidak mahu satu lagi inisiatif yang akan mengelirukan serta memecahbelahkan rakyat.

“Kami menolaknya. Dan kami akan menolaknya secara rasmi. Kami juga akan menyampaikan pendirian kerajaan negeri kepada perdana menteri (Anwar Ibrahim) pada 31 (Mei),” katanya menurut The Borneo Post.

Beliau yang juga ahli parlimen Keningau berkata, sebagai ahli jawatankuasa teknikal MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), beliau secara peribadi meminta inisiatif itu tidak dilaksanakan memandangkan ia tidak dijalankan di Sarawak.

Beliau turut mendedahkan kerajaan negeri hanya membincangkan inisiatif JKDM “secara tidak rasmi” dan perbincangan rasmi belum diadakan.

Sebelum ini, pemimpin Sabah mempersoalkan langkah Putrajaya menubuhkan JKDM walaupun badan serupa sudah wujud.

Sementara itu, Presiden Upko, Ewon Benedick dilaporkan berkata, Sabah meminda Ordinan Pentadbiran Luar Bandar untuk pentadbiran kampung bagi memastikan negeri itu hanya mempunyai sebuah badan pengurusan kampung.

“Sekiranya penubuhan JKDM merupakan dasar negara, maka ia harus dilaksanakan di seluruh negara, tetapi di Sarawak dan beberapa negeri lain di Semenanjung ia tidak dilaksanakan.”

PALING POPULAR

To Top