Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut berhubung isu pelantikan syarikat dikaitkan dengan suami seorang menteri untuk pembuktian konsep suatu projek pengangkutan.
Menurut laporan FMT, sumber menyatakan siasatan lanjut itu susulan SPRM menerima beberapa aduan baharu berhubung isu itu. “Aduan dan maklumat itu memberikan beberapa petunjuk baru untuk diteliti,” katanya.
“Justeru, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk melihat kesahihan maklumat atau petunjuk baru tersebut.”
Menurut sumber itu lagi, siasatan menyeluruh turut dijalankan, termasuk melihat kepada isu salah guna kuasa dan tatakelola dalam pematuhan arahan perbendaharaan dalam proses pelantikan syarikat berkenaan oleh kerajaan Selangor.
Turut dilaporkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan beberapa aduan dan maklumat diterima berkenaan isu ini.
Terdahulu, persoalan timbul apabila Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd menjadi salah satu daripada dua syarikat yang diberikan projek oleh kerajaan Selangor untuk suatu sistem transit, tanpa melalui tender terbuka.
CEO syarikat itu Ramachandran Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, pada Rabu berkata proses penglibatan Asia Mobiliti serta syarikat lain itu dibuat secara proses ‘request-for-proposal’ atau RFP.
Katanya, Asia Mobiliti dan BadanBas Coach Sdn Bhd dilibatkan dalam proses pembuktian konsep ‘bus-on-demand’ di Selangor, bagi tempoh hanya selama sembilan bulan dari November 2023 hingga Julai 2024.
Ng menerangkan bahawa apabila proses pembuktian konsep dimulakan, hanya Asia Mobiliti dan BadanBas diberikan lesen untuk menyertai pembuktian konsep oleh APAD.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sebelum ini menyatakan ia tidak menemui sebarang kesalahan dalam siasatan interim, namun siasatan lanjut boleh dijalankan sekiranya ada petunjuk baharu.