Kandungan digital yang dihasilkan kecerdasan buatan (AI) mungkin diwajibkan dilabel sebagai ‘AI generated’ apabila Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 mula berkuat kuasa hujung tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata langkah ini penting bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi AI, terutamanya di media sosial — termasuk penipuan, penyebaran fitnah, atau penyamaran identiti.
“Platform digital perlu lebih proaktif dalam melabelkan kandungan AI. Kita sedang teliti supaya ia dimasukkan dalam akta baharu ini,” katanya selepas menghadiri program YOU & AI: MEET@BANGSAR anjuran Institut Perhubungan Awam Malaysia.
📌 Bukan Malaysia Sahaja
Menurut Fahmi, beberapa platform media sosial kini telah mula melaksanakan pelabelan kandungan AI secara sukarela. Usaha ini juga berpotensi diperluas ke peringkat serantau melalui kerjasama negara-negara ASEAN.
Beliau turut berkongsi pengalaman menghadiri AI for Good Summit di Geneva, Switzerland, di mana isu kawal selia AI menjadi topik hangat. Katanya, setakat ini tiada satu garis panduan kawal selia global yang benar-benar memuaskan.
“Siapa yang patut kawal? PBB, ITU dan kerajaan-kerajaan masing-masing sedang berbincang. Yang pasti, setiap kementerian perlu main peranan,” ujarnya.
🔍 Penting Fahami Batas AI
Fahmi juga mengingatkan bahawa AI tidak boleh menggantikan peranan manusia sepenuhnya. Beliau menekankan keperluan mendidik generasi muda, terutamanya Gen Alpha, agar memahami potensi, cabaran dan risiko AI yang kian mempengaruhi kehidupan seharian.
