Kerajaan sedang menimbang untuk menggubal satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus bagi mengawal pendedahan berlebihan kanak-kanak di media sosial dan televisyen.
Cadangan itu dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, yang memaklumkan bahawa ketika ini tiada undang-undang khusus di Malaysia bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko keselamatan di ruang digital.
“Banyak negara lain sudah ada undang-undang kukuh. Malaysia perlu langkah sama untuk keselamatan anak-anak,” katanya.
📌 Bahaya Dedah Berlebihan
Nancy berkata, trend ibu bapa memuat naik terlalu banyak gambar atau video anak kerana dianggap ‘comel’ sebenarnya mendedahkan mereka kepada risiko jenayah siber, pemangsaan seksual, dan buli siber.
Kerajaan melalui Majlis Sosial Negara kini menjalankan pelbagai inisiatif dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, SKMM dan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan digital kanak-kanak.
“Kami tidak galakkan ibu bapa terlalu dedahkan anak di media sosial. Lindungi privasi mereka demi keselamatan,” tambahnya.
📊 Statistik Membimbangkan
Menurut laporan UNICEF baru-baru ini, 40% kanak-kanak di Malaysia tidak tahu cara melindungi diri ketika melayari internet, manakala 83% terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian akibat kurang perlindungan.
Nancy memaklumkan bahawa RUU ini bakal digubal oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi) dengan sokongan Kementerian Digital dan SKMM. Kementeriannya akan terus memberi input dan sokongan untuk memastikan perlindungan kanak-kanak lebih menyeluruh.
