Umum

Gaji Minimum RM1,700 Kini Diwarta: Majikan Wajib Patuhi Atau Denda RM10,000 Setiap Pekerja

Bermula hari ini, semua majikan di Malaysia yang menggajikan kurang daripada lima pekerja diwajibkan mematuhi perintah gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 sebulan, menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Perintah ini telah diwartakan secara rasmi dan turut meliputi pekerja kontrak perantisan, iaitu golongan yang menjalani latihan sistematik di bawah majikan untuk suatu tempoh tertentu antara 6 bulan hingga 24 bulan.

Menurut Kesuma, kegagalan majikan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, sekiranya disabitkan kesalahan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan semua golongan pekerja,” kata kenyataan itu.

Siapa Yang Terkesan?

Perintah ini ditujukan khas kepada:

  • Majikan kecil dengan kurang daripada 5 orang pekerja,
  • Majikan yang tidak menjalankan aktiviti profesional sebagaimana diklasifikasikan dalam Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020,
  • Majikan yang mengambil pekerja perantisan di bawah kontrak formal.

Majikan Tak Boleh Turunkan Gaji

Kesuma turut mengingatkan bahawa mana-mana majikan yang telah membayar gaji lebih tinggi daripada kadar minimum sebelum ini tidak dibenarkan menurunkannya kepada RM1,700. Perintah ini hanya menetapkan kadar minimum, bukan siling gaji.

Siapa Bertanggungjawab Kuatkuasa?

Penguatkuasaan perintah ini akan dijalankan oleh:

  • Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM),
  • Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah),
  • Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak).

Dengan pewartaan pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2025, kerajaan menunjukkan komitmen jelas dalam memastikan hak pekerja dipelihara, terutama mereka yang berada dalam sektor pekerjaan tidak formal dan latihan perantisan.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top