Umum

MTUC tidak setuju kerajaan PH-BN tangguh laksana gaji minimum

Langkah menangguhkan pelaksanaan gaji minimum yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mengejutkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

MTUC tidak bersetuju dengan langkah kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum tersebut kerana ia akan memberi implikasi besar kepada pekerja berpendapatan rendah.

“Kami di MTUC amat terkejut dengan langkah diambil oleh kerajaan berkenaan gaji minimum.

“PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) adalah industri yang sukar mendapatkan pekerja, dengan tidak melaksanakan gaji minimum, pekerja tidak mahu bekerja dengan PMKS dan industri ini akan alami kerugian besar,” kata Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani.

Mohd Effendy berkata, kebanyakan pekerja di PMKS adalah golongan B40 dan kerajaan seharusnya membantu membela nasib mereka.

“Sebelum ini, pelaksanaan gaji minimum sepatutnya dilaksanakan pada 1 Mei, namun ditangguhkan sehingga 1 Januari. Kini, kerajaan mengumumkan ia ditangguhkan lagi, ini tidak mendatangkan kebaikan kepada pekerja atau pemain industri,” katanya lagi.

Terdahulu Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata kerajaan memutuskan untuk

menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sehingga 1 Julai 2023.

Beliau berkata, majikan dalam kategori berkenaan diberikan penangguhan selama enam bulan terhadap penguatkuasaan gaji minimum itu berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

MTUC berpendapat, jika gaji minimum dilaksanakan, PMKS akan meningkatkan produktiviti mereka bagi membolehkan mereka membuat bayaran gaji pekerja seterusnya akan meningkatkan lagi industri itu.

“Inilah masanya kerajaan melihat mana-mana PMKS yang mengalami masalah kewangan atau aliran tunai, masa itulah mereka diberi bantuan oleh kerajaan, bukan sekat gaji minimum pekerja.

“Sejak 2013 majikan sering memberi alasan sama, tidak bersedia. Sampai bila ? Adakah kini majikan gulung tikar kerana gaji minimum dinaikkan beberapa kali?

Jawapannya tidak, kerana terdapat pelbagai bantuan kerajaan untuk usahawan,” katanya.

Mohd Effendy berkata, kajian menunjukkan produktiviti negara meningkat untuk menjana pendapatan pada suku kedua dan ketiga 2022 iaitu selepas musim Covid-19.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan menjalankan kajian sepenuhnya sebelum melaksanakan apa sahaja dasar baharu, termasuk gaji minimum.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top