Cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN bakal menjadi agenda utama Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, penubuhan majlis yang diterajui bersama Malaysia dan Indonesia itu penting memandangkan potensi besar pasaran halal di rantau ini, yang merangkumi lebih 640 juta penduduk.
“Sebelum kita bergerak ke peringkat lebih tinggi, pasaran halal serantau ini perlu dimajukan terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Vietnam Tran Hong Ha.
Dalam hantaran di laman Facebook rasminya, Zahid turut menyatakan bahawa pertemuan beliau dengan Tran Hong Ha membuka ruang kerjasama strategik dalam memperkukuh ekosistem halal di Vietnam.
Vietnam, jelas beliau, berminat mempelajari pengalaman Malaysia dalam pensijilan halal, piawaian, serta pembangunan taman industri halal. Malaysia pula komited untuk berkongsi kepakaran dan menjadi rakan strategik dalam merealisasikan hasrat ini.
Selain industri halal, kedua-dua negara turut membincangkan aspek perdagangan dua hala, dengan Malaysia menikmati imbangan dagangan positif ketika ini. Vietnam turut menyatakan minat agar produk halalnya mendapat tempat lebih luas di pasaran Malaysia.
Zahid yakin kerjasama Malaysia-Vietnam dalam sektor halal bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala, malah membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi inklusif.
