Umum

Malaysia Muslim Festival 2026 Dirasmikan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka

KUALA LUMPUR, 5 Feb 2026 — Malaysia Muslim Festival 2026 (MMF 2026), festival gaya hidup Muslim berskala besar di Malaysia, dirasmikan hari ini di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, sekali gus mengangkat kepentingan acara ini sebagai platform pemerkasaan komuniti dan ekonomi halal.

Majlis perasmian yang berlangsung pada jam 2.30 petang itu mencerminkan sokongan dan pengiktirafan institusi terhadap peranan MMF dalam membangunkan ekosistem gaya hidup Muslim yang menyeluruh, merangkumi aspek ekonomi, ilmu dan budaya.

MMF 2026 dianjurkan oleh Malaysia Muslim Festival dengan sokongan Halal Development Corporation Berhad (HDC) sebagai Rakan Strategik, serta ditaja oleh Alliance Islamic Bank, Affin Islamic Bank, Sri Aria School dan AFYAA. Festival ini turut disokong pelbagai agensi dan organisasi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC).

Menurut penganjur, keberangkatan dan perasmian yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka memberi makna besar kepada MMF 2026, selari dengan aspirasi festival ini untuk menjadi platform nasional yang menyatukan pemain industri, institusi dan masyarakat dalam memperkukuh pembangunan ekonomi halal dan gaya hidup Muslim.

Berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2026, MMF 2026 menghimpunkan pelbagai elemen utama gaya hidup Muslim termasuk makanan dan minuman halal, fesyen patuh syariah, kesihatan, kecantikan dan wangian, perdagangan serta ilmu dan wacana intelektual dalam satu platform bersepadu.

5@MMF: Lima Komponen Utama Gaya Hidup Muslim

MMF 2026 menampilkan konsep 5@MMF, iaitu pengalaman pameran berkurasi yang merangkumi lima komponen utama industri dan gaya hidup:

  • Makanan & Minuman — menampilkan sajian halal, usahawan makanan dan jenama tempatan
  • Pesta Buku Islamik — menghimpunkan penerbit, penulis, bahan bacaan serta program berteraskan ilmu
  • Fesyen Patuh Syariah & Hijab — mengetengahkan fesyen Muslimah dan Muslim moden
  • Kesihatan, Kosmetik, Kecantikan & Wangian — mempamerkan produk halal berkaitan kesejahteraan dan penjagaan diri
  • Perdagangan & Perkhidmatan — merangkumi kewangan Islam, pendidikan, sokongan PKS dan perkhidmatan berkaitan halal

Aromania by FFM x MMF

Sebagai sebahagian daripada komponen Kesihatan, Kosmetik, Kecantikan & Wangian, MMF 2026 memperkenalkan Aromania by Fragrance Festival Malaysia x Malaysia Muslim Festival, hasil kerjasama bersama Fragrance Festival Malaysia (FFM).

Aromania menampilkan pelbagai jenama wangian, elemen perfumeri, pameran OUD serta produk kecantikan, sekali gus menambah dimensi pengalaman deria kepada pengunjung melalui fokus terhadap aroma, ekspresi diri dan gaya hidup.

Pemerkasaan Ilmu dan Wacana Intelektual

Komponen Pesta Buku Islamik turut diperkukuhkan dengan sokongan Malaysia Book Publishers Association (MABOPA) sebagai Rakan Penyokong, selaras dengan komitmen MMF untuk memupuk budaya membaca dan penyebaran ilmu berteraskan nilai Islam.

Selain itu, MMF 2026 menampilkan Siri Intelektual yang merangkumi sesi perkongsian dan perbincangan bersama ilmuwan, pendidik, pakar industri dan pemimpin pemikiran, meliputi topik seperti pendidikan, ekonomi halal, pembangunan komuniti dan isu semasa umat Islam.

MMF 2026 dibuka secara percuma kepada orang ramai dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang empat hari penganjuran di WTCKL.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top