Umum

Bank Rakyat Lancar Platform AI Fiqh Scholar Berteraskan Syariah

Bank Rakyat hari ini melancarkan AI Fiqh Scholar Version, sebuah platform kecerdasan buatan (AI) berteraskan syariah yang dibangunkan bagi memperkukuh integrasi teknologi digital dengan prinsip kewangan Islam.

Platform tersebut dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama Fiqh Tech Sdn Bhd dan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Menurut beliau, pelancaran AI Fiqh Scholar mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat sebagai institusi kewangan pembangunan patuh syariah dalam menerajui inovasi yang menggabungkan teknologi moden dan nilai Islam secara menyeluruh.

“Peranan institusi kewangan bukan sekadar menyediakan penyelesaian kewangan, tetapi turut memperkasa nilai syariah, memperkukuh tadbir urus serta memastikan inovasi memberi manfaat kepada kesejahteraan ummah,” katanya.

Tambahnya, AI Fiqh Scholar dibangunkan dengan penekanan terhadap ketulenan dan kesahihan sumber rujukan syariah tanpa sebarang unsur fabrikasi maklumat, sekali gus membuktikan teknologi AI boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab dalam ekosistem digital Islam.

Sebagai nilai tambah kepada masyarakat, 8% daripada yuran langganan AI Fiqh Scholar akan disalurkan ke Dana Wakaf Tunai Bank Rakyat bagi tempoh lima tahun, untuk menyokong pelaburan dan projek berasaskan wakaf.

Ketika ini, AI Fiqh Scholar digunakan oleh pengguna dari 72 negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Arab Saudi, Mesir dan Jerman, sekali gus menunjukkan penerimaan global terhadap penyelesaian kewangan Islam berasaskan teknologi AI.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top