KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 — Malaysia Muslim Festival 2026 (MMF 2026) melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan pada Ahad, 8 Februari 2026, selepas empat hari berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform gaya hidup Muslim paling komprehensif di Malaysia.
Festival berskala besar ini berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan, menghimpunkan komuniti, pemain industri, intelektual dan usahawan dalam satu ekosistem yang menyatukan ekonomi, ilmu, budaya dan nilai.
MMF 2026 telah dirasmikan pada 5 Februari 2026 oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, melambangkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa ekonomi dan gaya hidup Muslim di Malaysia.
Platform Menyeluruh Ekonomi dan Gaya Hidup Muslim
Sepanjang penganjuran, MMF 2026 menampilkan pelbagai segmen utama merangkumi makanan dan minuman halal, fesyen patuh syariah, kesihatan dan kesejahteraan, kecantikan dan wangian, pendidikan serta keusahawanan, dengan penyertaan ratusan pempamer tempatan dan antarabangsa.
Penyertaan aktif pemain industri ini mencerminkan potensi besar sektor gaya hidup Muslim yang semakin berkembang, sekali gus menjadikan MMF sebagai medan strategik bagi jaringan perniagaan, pembangunan jenama dan peluasan pasaran halal.
Siri Intelektual MMF Jadi Tumpuan
Antara tarikan utama MMF 2026 ialah Siri Intelektual MMF, yang berfungsi sebagai platform wacana pemikiran dan dialog strategik, menghimpunkan tokoh agama, akademik, penggubal dasar serta personaliti awam.

Siri ini menampilkan barisan tokoh terkemuka termasuk Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Badli Shah Allaudin; Ustaz Dato’ Dr Zahazan Mohamed; Profesor Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff (UKM); wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); serta pendakwah popular seperti Ustaz Haris Ismail (Muallim Muda), Ustaz Adnin dan Imam Muda Asyraf.
Turut memeriahkan sesi perbincangan ialah personaliti terkenal seperti Nana Mahazan, Ardell Aryana dan Dahlia Shazwan, yang berjaya menarik minat golongan muda dan keluarga.

Topik yang dibincangkan merangkumi isu semasa dan relevan seperti kepimpinan wanita, pendidikan Islam kontemporari, konsep halalan toyyiban, kesihatan menurut al-Quran dan sains, perbankan Islam, pemerkasaan belia, isu kemanusiaan Gaza serta cabaran pembentukan keluarga Muslim dalam era digital.
Kerjasama Strategik Perkukuh Impak Festival
Kejayaan MMF 2026 turut diperkukuhkan melalui kerjasama strategik dengan Halal Development Corporation (HDC) sebagai Rakan Strategik, selain sokongan pelbagai agensi dan organisasi termasuk JAKIM, SME Corp Malaysia, Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC), Jamiyah Singapore serta Malaysia Book Publishers Association (MABOPA) yang memperkukuh penganjuran Pesta Buku Islam dalam festival ini.
Sokongan sektor korporat pula diterjemahkan melalui penglibatan penaja seperti Alliance Islamic Bank, Affin Islamic Bank, Sri Aria School dan AFYAA, mencerminkan keyakinan industri terhadap MMF sebagai platform berimpak tinggi dan bernilai strategik.
Aromania Tarik Perhatian Pengunjung
Satu lagi elemen baharu yang mendapat sambutan menggalakkan ialah Aromania by Fragrance Festival Malaysia x Malaysia Muslim Festival, sebuah pameran khas yang menampilkan dunia wangian dan kecantikan sebagai sebahagian daripada gaya hidup Muslim moden.
Segmen ini membuka dimensi baharu kepada festival dengan mengetengahkan keseimbangan antara estetika, nilai dan identiti Muslim kontemporari.
Lebih Daripada Sekadar Pameran
Penganjur MMF menyifatkan kejayaan penganjuran tahun ini sebagai bukti bahawa Malaysia Muslim Festival bukan sekadar acara pameran, sebaliknya sebuah platform penyatuan yang merangkumi ekonomi, ilmu, budaya dan nilai, selari dengan aspirasi membina ekosistem Muslim yang progresif, inklusif dan mampan.
“Kejayaan Malaysia Muslim Festival 2026 membuktikan bahawa industri gaya hidup Muslim hari ini bukan sahaja bersedia untuk berkembang dari segi ekonomi, tetapi juga matang dalam pemikiran, nilai dan budaya. MMF akan terus menjadi platform penyatuan ke arah ekosistem Muslim yang progresif dan mampan,” menurut penganjur.
Butiran Festival
Malaysia Muslim Festival 2026
5 – 8 Februari 2026
World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL)
www.mymuslimfestival.com.my
[email protected]
