Umum

Populasi Malaysia Cecah 34.3 Juta pada Suku Keempat 2025, Pertumbuhan Terus Perlahan

PUTRAJAYA — Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan mencecah 34.3 juta orang pada suku keempat 2025, meningkat berbanding 34.1 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, namun mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih perlahan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Uzir Mahidin, berkata kadar pertumbuhan penduduk pada suku keempat 2025 adalah 0.6 peratus, menurun berbanding 1.2 peratus pada suku keempat 2024.

Beliau berkata komposisi penduduk warganegara dan bukan warganegara kekal stabil, masing-masing pada 90.1 peratus dan 9.9 peratus.

“Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta berbanding 17.9 juta, manakala penduduk perempuan meningkat kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi warganegara adalah 102 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Peningkatan Populasi Warga Emas

DOSM turut melaporkan peningkatan dalam populasi warga emas, dengan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 8.0 peratus, berbanding 7.8 peratus sebelum ini.

Dalam masa sama, populasi muda berumur 0 hingga 14 tahun menurun kepada 21.6 peratus, manakala populasi berumur bekerja 15 hingga 64 tahun meningkat sedikit kepada 70.4 peratus.

Dari segi komposisi etnik, orang Melayu kekal sebagai kumpulan terbesar dengan 58.2 peratus, diikuti Cina (22.2 peratus), Bumiputera lain (12.3 peratus) dan India (6.5 peratus), tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.

Kelahiran Terus Menurun

Bilangan kelahiran hidup pada suku keempat 2025 merekodkan penurunan 5.4 peratus kepada 99,353 kelahiran, berbanding 105,027 kelahiran pada tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, kelahiran bayi lelaki adalah lebih tinggi dengan 51,340 kelahiran, berbanding 48,013 bayi perempuan, menjadikan nisbah jantina kelahiran 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 18,517 kelahiran, manakala Labuan mencatatkan jumlah terendah dengan 331 kelahiran.

“Ibu berusia antara 30 hingga 39 tahun mencatatkan kelahiran tertinggi, merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan kelahiran,” katanya.

Secara purata, seorang bayi dilahirkan setiap satu minit, atau 1,080 kelahiran sehari pada tempoh tersebut.

Kematian Meningkat Sedikit

Dalam tempoh sama, sebanyak 51,077 kematian direkodkan, meningkat 1.3 peratus berbanding suku keempat 2024.

Kematian lelaki kekal lebih tinggi dengan 29,358 kes, berbanding 21,719 kematian dalam kalangan perempuan, dengan nisbah jantina kematian 135 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Penduduk berumur 60 tahun ke atas mencatatkan peratusan kematian tertinggi, iaitu lebih 70 peratus daripada keseluruhan kematian.

Secara purata, satu kematian direkodkan setiap dua minit, atau 555 kematian sehari pada suku keempat 2025.

Trend Global Kadar Kelahiran Menurun

Uzir berkata dunia kini menyaksikan trend penurunan kadar kelahiran dan kadar kesuburan jumlah (TFR), dengan semakin banyak negara mencatatkan paras di bawah kadar penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita.

Beberapa negara termasuk Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand dan China telah berdepan isu penuaan penduduk serta penyusutan tenaga kerja akibat trend tersebut.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top