Umum

Palestin batal perjanjian dengan Israel

Pihak Berkuasa Palestin (PA) semalam memutuskan untuk membatalkan perjanjian pertukaran yang akan menyaksikan Israel memberi satu juta dos vaksin COVID-19 berikutan vaksin itu menghampiri tarikh luput.

Pegawai Israel sebelum itu mengumumkan perjanjian berkenaan dengan mengatakan Israel akan memberikan dos berkenaan kepada PA ketika tarikh tamat tempohnya semakin hampir.

PA yang berpangkalan di Tebing Barat, sebelum itu mengesahkan penghantaran sejuta dos vaksin dalam tempoh beberapa hari akan datang tanpa menjelaskan mengenai kesepakatan dengan Israel.

Bagaimanapun jurucakap PA, Ibrahim Melhem berkata penghantaran awal sekitar 90,000 dos Pfizer gagal mematuhi spesifikasi terkandung dalam perjanjian, sekali gus menyaksikan Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh mengarahkan Menteri Kesihatan membatalkan perjanjian itu.

“Kerajaan menolak untuk menerima vaksin yang tarikhnya hampir tamat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan agensi berita rasmi WAFA.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett sebelum itu berkata Israel sudah menandatangani perjanjian dengan PA dan akan menyediakan sekitar satu juta dos vaksin Pfizer yang akan tamat tempoh, tanpa menentukan masa penggunaannya.

“Israel akan menerima jumlah dos Pfizer yang sama pada September/Oktober 2021, yang sepatutnya dihantar untuk Palestin,” menurut kenyataan Israel itu.

Melhem berkata PA sebaliknya akan menunggu vaksin dipesannya dari Pfizer.

Beliau juga tidak menyatakan tarikh luput vaksin yang dibekalkan Israel.

Israel melancarkan kempen vaksinasi secara menyeluruh selepas memperoleh jutaan dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Lebih 55 peratus penduduk Israel atau kira-kira 5.1 juta orang sudah menerima dua dos vaksin.

Bagi pihak Palestin, lebih 270,000 individu sudah menerima dua dos di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Semalam, Menteri Kesihatan baharu Israel, Nitzan Horowitz dalam ciapan di Twitternya, menyatakan COVID-19 tidak mengenal sempadan dan tidak membezakan sesiapa.

“Kepentingan pertukaran vaksin adalah untuk kepentingan masing-masing,” katanya, sambil berharap kerjasama antara Israel dan Palestin.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin sudah merekodkan lebih dari 312,000 kes COVID-19, termasuk 3,540 kematian.

Israel pula mencatatkan hampir 840,000 kes, dengan lebih 6,420 kematian direkodkan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top