KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan persaraannya dari arena politik sekali gus tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Nazri menjelaskan keputusan itu diambil bagi membolehkan peluang diberikan kepada pemimpin muda.
“Hidup kita jangan sampai menongkat langit, jangan sampai orang tunjuk pintu keluar.
“Saya rasa sudah sampai masa untuk saya bersara dan memberi peluang kepada pemimpin muda,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau juga berkata keputusan ini dibuat untuk menyesuaikan dengan keadaan yang mana kepimpinan kerajaan dibarisi pemimpin muda.
“Ini masa yang sesuai kerana kepimpinan kerajaan sudah dibarisi pemimpin muda.
“Jadi ia juga perlu dibuat di peringkat akar umbi.
“Saya mahu pemimpin muda akan mengisi kekosongan saya,” katanya lagi.
Nazri merupakan pemimpin UMNO yang sering menimbulkan kontroversi dengan kenyataan yang dibuatnya.
Sumber: Astro Awani