Umum

Unimap jalankan kajian tanaman hemp

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengorak langkah menjadi universiti awam pertama di negara ini menjalankan penyelidikan mengenai tanaman hemp atau ganja jenis Cannabis sativa sebagai produk pertanian yang berpotensi dibangunkan.

Merealisasikan usaha berkenaan, satu memorandum per­sefahaman (MoU) dimeterai antara Unimap dengan sebuah syarikat MyUS Hemphouse Sdn. Bhd. dari Kuala Lumpur bagi melakukan kajian terhadap produk tersebut.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, MoU tersebut bakal membolehkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan di universiti berkenaan.

Katanya, kerjasama antara Unimap menerusi Institut Agroteknologi Lestari (Insat) dan MyUS itu akan memberi fokus kepada aktiviti penyelidikan mengenai penanaman hemp di kawasan kampus Unimap Sungai Chuchuh, Padang Besar.

“Kedua-pihak akan menjalankan penyelidikan mengenai prosedur dan aplikasi penanaman hemp serta memberi tumpuan kepada bahan-bahan berfungsi untuk pertanian terutamanya secara organik bagi meningkatkan produk pertanian negara.

“Justeru, dengan perjanjian ini, aktiviti penyelidikan mengenai penanaman ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sekali gus hubungan universiti dan Industri dapat dieratkan dengan program kolaborasi penyelidikan yang dijalankan.

“Tanaman hemp itu memerlukan pengawalan yang ketat disamping ia juga berupaya menjadi sumber ekonomi negara pada masa hadapan kerana sudah ada negara maju yang membenarkan penggunakan hemp untuk dikomersialkan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum tersebut di sini hari ini.

Unimap diwakili Zaliman manakala MyUS Hemphouse diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nellsen Phillipe Young.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Unimap berkenan berangkat hadir bagi menyaksikan majlis memeterai MoU berkenaan.

Turut hadir, Pengarah MyUS, Datuk Muhammad Akhbar Gafoor; Pengarah Insat, Prof. Ir. Dr. Abu Hassan Abdullah dan timbalan-timbalan Naib Canselor Unimap.

MyUS merupakan salah satu syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran menanam, memelihara dan mengurus pengeluaran tanaman hemp serta mengeluarkan produk berasaskan tanaman tersebut yang inovatif bagi penggunaan fiber komposit, bio-diesel, perubatan, terapi dan pemeliharaan kesihatan.

Unimap melalui Insat akan menyediakan fasiliti yang merangkumi penggunaan tanah untuk aktiviti penanaman produk tersebut.

Manakala MyUS bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan infrastruktur, sumber teknikal serta bantuan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan. – UTUSAN ONLINE

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top