Travel

Tempahan pelancong ke Tioman mula diterima

Tempahan daripada pelancong untuk bercuti di Pulau Tioman sudah mula diterima yang memberi kelegaan kepada penggiat sektor pelancongan.

Pemilik Tioman Santai Resort di Kampung Juara, Razib Ali Awang, 55, berkata selepas hampir dua tahun sabar menunggu, penantian untuk Pulau Tioman dibuka semula kepada pelancong menjadi kenyataan apabila Pahang memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Katanya, dalam tempoh dua tahun tidak beroperasi, pelbagai cabaran serta dugaan terpaksa dihadapi dengan gaji pekerja dan bil elektrik tetap perlu dibayar walaupun tidak setinggi sebelum pandemik melanda.

“Selepas kerajaan umumkan Pahang memasuki Fasa 3 PPN, tempahan percutian untuk minggu depan sudah mula diterima walaupun tidak serancak sebelum pandemik.

“Bagaimanapun kehadiran pelancong ke Tioman hanya untuk masa dua bulan sahaja. Selepas itu, musim tengkujuh yang menyebabkan laut bergelora dan pengangkutan feri tidak dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa.

“Kami penggiat sektor pelancongan juga hanya mampu beroperasi dalam tempoh dua bulan yang sama. Selepas ini, tutup semula sebelum beroperasi kembali pada awal tahun depan, bergantung pada keadaan cuaca semasa,” katanya, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Kampung Juara, berkata dalam tempoh dua tahun sektor pelancong terhenti, ramai usahawan sektor pelancongan terpaksa ‘gulung tikar’, antaranya penyedia kemudahan aktiviti menyelam.

“Gelembung pelancongan Pulau Tioman diharap membuka sinar baharu kepada penggiat sektor ini yang begitu terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila tidak dapat beroperasi dalam tempoh panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, penggiat sektor pelancongan di pulau berkenaan perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Kita tidak ingin melihat pembukaan semula sektor pelancongan di pulau peranginan itu terjejas dengan penularan COVID-19 yang akhirnya akan mengundang tindakan tegas daripada kerajaan,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top