Umum

‘Saya tak buat laporan atas dasar simpati’

Seorang anggota polis trafik tidak membuat laporan atas dasar simpati terhadap seorang penunggang motosikal yang melanggarnya di susur Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke Persiaran Kewajipan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 7.20 pagi, seorang anggota trafik sedang menjalankan tugas di lokasi telah dilanggar oleh penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang hendak memasuki susur tersebut.

“Kedua-dua individu itu tidak mengalami kecederaan dan tiada kerosakan pada kenderaan.

“Atas dasar simpati kepada penunggang motosikal tersebut dalam situasi yang dihadapi, maka anggota trafik terbabit tidak membuat sebarang laporan polis terhadap insiden yang berlaku sebaliknya meneruskan tugas di lokasi kejadian,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Abd Khalid berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat terhadap kejadian yang menimpa anggota polis terlibat.

“Semoga hubungan ini mencerminkan silaturahim yang erat antara polis dan masyarakat, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat,” katanya.

Pada Khamis sebuah video tular berdurasi 28 saat memaparkan insiden melibatkan seorang anggota trafik dilanggar oleh penunggang sebuah motosikal.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top