Pelancaran Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) malam ini diibaratkan sebagai dos penggalak atau ‘booster dose’ bagi menambah tenaga dan semangat kepada jentera parti sekali gus membawa kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Menggambarkan laungan panji sebagai booster dose, Pengerusi GPS itu juga menegaskan jentera GPS di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah menerima dos penggalak sebagai kekebalan tambahan mempertahankan kemenangan di kawasan masing-masing.
“Sebenarnya kita sudah awal memulakan perjuangan kita, kita sudah mengambil ‘booster dose’, dan malam ini kita akan mempunyai tenaga untuk berdepan pilihan raya bukan sebagai individu tetapi kumpulan kerana kita di Sarawak bekerja dalam satu pasukan.
“Saya mengajak semua rakan-rakan sekalian kita keluar dan terus berjuang bersama-sama untuk bergerak dalam satu nada, satu irama, satu lagu iaitu lagu GPS seterusnya memegang harapan serta tanggungjawab bukan hanya saya tapi kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera GPS di auditorium PBB di Kuching pada Ahad.
Tambah Abang Johari, GPS juga akan akan menampilkan muka-muka baharu yang lebih muda daripada penyandang sebelumnya untuk sama-sama berentap dalam PRN12 nanti.
“Sementara itu kita tetap melatih para-para pejuang kita terutama dalam PBB dan juga untuk GPS kita akan menampilkan muka baharu yang lebih muda daripada penyandang tetapi tidak semua kita akan tukar.
“Kita harus tahu suatu hari nanti wakil rakyat seperti kita akan bertukar ganti, seperti Datuk Amar Michael Manyin Jawong (ADUN Tebedu), Datuk Abdul Wahab Aziz (ADUN Kelaka), Datuk Sri Mohamad Ali Mahmud (ADUN Stakan) dan ramai lagi yang memberi laluan kepada orang baharu dan ini adalah budaya kita,” katanya lagi.