Buletin

Muhyiddin Serah Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA

Hi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah menyampaikan Geran Program Pembangunan Dasar (MPDP) yang diperkenalkan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), pada hari ini kepada 30 penerima daripada 10 institusi pengajian tinggi awan (IPTA) dan swasta (IPTS).

Pengerusi MASA, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata, geran MPDP merupakan salah satu fokus utama Institut MASA untuk menggalakkan kajian tentang aspek-aspek pemulihan dalam pelbagai sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan sektor lain.

Beliau juga berharap agar program ini dapat dijadikan panduan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam melaksanakan dasar dan strategi pemulihan pasca pandemik.

“Inisiatif tersebut juga menyediakan platform kepada penyelidik daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tempatan menjalankan penyelidikan berimpak tinggi khususnya dalam ekonomi, sosial dan pembangunan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penganugerahan Geran MPDP hari ini.

Muhyiddin turut berharap lebih ramai penyelidik di IPTA dan IPTS dapat menghasilkan penulisan penyelidikan baharu berimpak tinggi diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seterusnya menjaga potensi nilai tambah kepada sosioekonomi negara.

“Masih banyak ruang dan peluang bagi negara kita untuk memacu ekonomi inovatif berlandaskan penyelidikan dan pembangunan.

“Justeru, saya berharap program MPDP yang diperkenalkan Institut MASA ini akan memberi motivasi dan menjadi pembakar semangat kepada penyelidik tempatan untuk menghasilkan penyelidikan berimpak besar bukan hanya kepada rakyat negara ini bahkan masyarakat antarabangsa.

“Ia ke arah penambahbaikan dasar dan strategi dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat dan negara seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipandang tinggi dalam aspek penyelidikan serta pembangunan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yakin bahawa program MPDP itu telah dirangka secara teliti dan komprehensif berdasarkan kepelbagaian tajuk dan kertas cadangan dalam bidang berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tambahan pula, Muhyiddin teruja dengan cadangan diutarakan penerima geran berkenaan termasuk isu ‘kemiskinan situasi’ yang dicadangkan Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Saya juga amat tertarik dengan cadangan berkaitan pemulihan ekonomi dicadangkan Dr. Peter Aning anak Tedong dari Universiti Malaya (UM) dengan tajuk penyelidikan beliau, Revitalizing the Urban B40 Communities Through the Development of a Multidimensional Integrated Community Sustainability Planning (ICSP) Framework.

“Begitu juga cadangan berkaitan sektor ekopelancongan dicadangkan Kalai Vani dan pasukan penyelidikan beliau dari Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) yang menjalankan kajian berkaitan peranan orang kurang upaya (OKU) terhadap kelestarian sektor pelancongan di Malaysia dengan melihat aspek pembangunan kapasiti dan program-program sokongan yang dirangka khusus bagi golongan OKU,” jelas beliau.

Turut hadir dalam program ini adalah Menteri Kanan Pendidikan merangkap Pemegang Amanah MASA, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd. Amin.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top