Buletin

Bukan Najib seorang patut merasa malu…

Tanda-tanda perpecahan semakin ketara antara parti-parti politik Melayu bilamana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan mengatakan beliau tidak tahu malu dan tiada maruah diri.

 “Awak telah pun disabitkan di mahkamah atas jenayah berat. Sekurang-kurangnya adalah rasa malu. Dalam Islam, malu adalah sebahagian daripada iman.

Malangnya, dalam UMNO, orang lelaki ini yang telah disabitkan dengan kesalahan berat yang disifatkan [oleh hakim bicara] sebagai ‘memalukan negara’) sebaliknya diletakkan paling atas sebagai bos, dengan sorakan ‘Malu apa, bossku!’ [Perlu apa untuk malu, Bos?]. Di manakah iman anda? Di mana maruah anda?”.

Saya bukannya peminat Muhyiddin tetapi memang tepatlah panggilan beliau terhadap Najib kerana dia langsung tidak ada perasaan malu. Najib didapati bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Dia dijatuhi hukuman penjara 72 tahun tetapi memandangkan hukuman itu berjalan serentak, dia hanya akan menjalani hukuman 12 tahun. Selain itu, dia didenda RM210 juta.  Empat hakim kesemuanya (satu di Mahkamah Tinggi dan tiga di Mahkamah Rayuan) mendapati dia bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa dia bersalah dan alasan ‘tidak bersalah-sehingga-terbukti-bersalah’ tidak boleh lagi dipakai dalam kes Najib ini. Dia seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan, diikat jamin RM1 juta sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Dia tidak pernah  merasa menyesal dan bersalah atas perbuatannya malah dia ke hulu ke hilir  di hadapan khalayak ramai, dia berpura-pura menjadi seorang yang baik dan jujur daripada pihak lawan. Begitu keji sekali perlakuannya.

Tetapi bukan Najib sahaja yang patut merasa malu. Setiap orang yang memeluknya, meraikannya, mengalu-alukannya atau memuliakannya walaupun dia telah disabitkan kesalahannya,  patut merasa benar-benar malu dengan diri mereka sendiri.

 Apabila pemimpin MCA dan MIC memuja-muja Najib, seperti yang mereka lakukan di rumah terbuka Tahun Baharu Cina MCA dan ketika sambutan Thaipusam – mereka menghantar mesej jelas bahawa sabitannya, pengkhianatannya terhadap kepercayaan pengundi dan mencuri dana awam, tidak penting. Muka tak malu sungguh.

UMNO sebenarnya sudah lama kehilangan jiwa dan kompas moralnya. Pemimpin dan ahli-ahli mereka terus memuja penjenayah yang telah disabitkan kesalahan ini, menugaskannya untuk mengetuai kempen pilihan raya dan menyokongnya pada setiap masa.

Silap pemimpin UMNO seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Mohamad Hasan yang terus berdiam diri amat memualkan sekali. Jelas sekali, kuasa dan kedudukan lebih penting daripada maruah dan patriotisme.

Dan apa yang kita boleh kata daripada sikap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila beliau menerima Najib di pejabatnya dan kemudian mengumumkan: “Najib komited untuk menyumbangkan masa, tenaga dan ideanya sebagai satu pasukan dalam Keluarga Malaysia”.

Adakah Ismail Sabri pernah bertanya pada dirinya sendiri sama ada betul dari segi moral untuk seorang perdana menteri menerima penjenayah yang telah disabitkan dengan jenayah serius di pejabatnya?

Selain itu, di manakah komitmen Najib kepada Keluarga Malaysia apabila beliau menyeleweng RM42 juta daripada dana persaraan rakyat Malaysia yang telah bekerja keras? Pas sebagai sebuah parti Islam, pun sama sahaja perlakuannya.

Pemimpin Pas mungkin menentang Najib sekarang ini kerana dia mengancam untuk membatalkan rancangan Pas yang telah disusun dengan teliti untuk mengukuhkan kedudukan Pas dalam kerajaan persekutuan, tetapi kita jangan lupa bahawa seluruh kepimpinan tertinggi Pas melawat Najib sejurus selepas dia pertama kali disabitkan dengan tuduhan jenayah berat itu pada Julai 2020 untuk menunjukkan solidariti dan sokongan kepadanya.

Dalam memperlihatkan sikap keagamaan mereka, mereka sanggup meninggalkan prinsip dan integriti untuk bersimpati dengan penjenayah ini demi kepentingan politik mereka.

Kenyataan Muhyiddin bahawa “dalam Islam, malu adalah sebahagian daripada iman” sepatutunya terpakai bukan sahaja pada Najib tetapi pada Pas sendiri.

Malangnya, bukan sahaja semua ahli politik yang tidak berani dan tidak berprinsip yang mesti menundukkan kepala kerana malu – kita pengundi negara ini pun patut berasa malu dengan diri sendiri juga kerana kita, sama ada terlalu naif atau tidak mengambil berat, gagal membuat sesuatu terhadap ahli-ahli politik yang korup.

Dengan undi yang kita berikan kepada mereka, secara tidak langsung kita memperkasa rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang selama ini telah menindas kita dan kehidupan kita.

Bagaimanakah kita boleh bercakap tentang kebanggaan negara atau mendabik dada bila kita terus meletakkan mereka yang korup di atas sana, tidak mengasingkan mereka atau memalukan mereka?

Dalam pilihan raya negeri Melaka yang lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak pernah berkompromi dengan jenayah Najib – telah melontarkan satu persoalan –

“Adakah mungkin mereka [pengundi] telah melupakan jenayah yang dilakukan oleh Najib? Atau adakah mereka telah memaafkannya? Atau adakah kerana mereka percaya dakwaannya bahawa dia tidak bersalah? Atau adakah kerana para pengundi tidak ambil peduli langsung bahawa mereka yang korup ini boleh diterima kerana mereka mendapat sesuatu untuk diri mereka sendiri daripada pemimpin yang korup ini?” Walau apa pun pandangan anda tentang Dr. Mahathir, soalan beliau perlu dijawab.

Sumber dipetik daripada dennisignatius.com.

PALING POPULAR

To Top