Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (Khamis, 1 September 2022) menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkir hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar dan membuat keputusan berhubung kes rasuah projek solar hibrid sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.
Ia adalah kali ketika mahkamah menolak permohonan isteri Datuk Seri Najib Razak – bekas Perdana Menteri Malaysia yang kini menjadi banduan di Penjara Kajang – untuk menyingkirkan hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mengendalikan perbicaraan kesnya.
Pada 25 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kedua Rosmah untuk menyingkirkan Hakim yang mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mohamed Zaini menyatakan permohonan kali kedua Rosmah adalah berdasarkan alasan yang sama dikemukakan dalam permohonan kali pertamanya.
Rosmah yang juga digelar ‘First Lady Of Malaysia’, pada 14 Disember 2021, gagal dalam permohonannya buat kali pertama untuk menyingkirkan hakim Mohamed Zaini berhubung kes yang sama.
Ketika menolak permohonan kali ketiga hari ini, Mohamed Zaini berkata beliau tidak pernah membaca kertas penghakiman yang disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi.
Menurutnya beliau sendiri menyediakan 200 keputusan penghakiman sebelum ini dan kesemuanya dilakukan sendiri.
Terdahulu, peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh berkata dokumen yang didakwa bocor tersebut adalah draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga untuk hakim Mohamed Zaini.
Jagjit berkata demikian ketika Mohamed Zaini bertanya apakah dokumen itu sebenarnya, yang menjadi asas kepada permohonan pembelaan agar dia digugurkan daripada mendengar kes tersebut.
Jagjit merujuk salinan dokumen didakwa bocor berkaitan kes rasuah Rosmah, yang disiarkan dalam sebuah blog.
Pada Selasa (30 Ogos), Rosmah memfailkan permohonan menyingkirkan Mohamed Zaini atas alasan kononnya penghakiman kesnya bocor. Keputusan penghakiman itu disediakan oleh pihak lain yang telah tular di media pada 26 Ogos.
Asas bagi Rosmah, yang pernah menerajui pejabat bahagian ‘Wanita Pertama Malaysia (FLOM)’, adalah berdasarkan kebocoran keputusan penghakiman yang dikatakan untuk kesnya yang diterbitkan sebuah blog hujung minggu lalu, yang kini dalam siasatan polis.
Ia merupakan kebocoran kedua mengenai prosiding kehakiman kerana minggu lepas, draf penghakiman melibatkan Najib diterbitkan blog sama, sebelum pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis.
Blog terbabit dikendalikan seorang penulis yang kini bersembunyi di luar negara setelah beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Dalam permohonannya, Rosmah mendakwa kebocoran itu telah mengurangkan keyakinannya terhadap keupayaan dan integriti Mohamed Zaini sebagai hakim bicara untuk membuat keputusan dengan saksama.
Rosmah sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Mohamed Zaini dijangka membuat keputusan berhubung kes rasuan Rosmah hari ini.
Sumber: Agenda Daily