Umum

Keputusan Rosmah minta hakim tarik diri petang ini

Keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu ditetapkan petang ini.

Mohamed Zaini berkata demikian selepas selesai mendengar hujah dari peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Ram.

Terdahulu Jagjit dalam hujahnya mempertikaikan siapa ‘kami’ yang dimaksudkan dalam draf penghakiman yang didakwa bocor itu.

Menurutnya, berdasarkan dokumen yang tular itu jelas menunjukkan ia dibuat oleh mereka yang mempunyai pengetahuan undang-undang.

“Saya melihatnya sebagai orang biasa dan pertamanya saya tertanya-tanya siapa yang mengarahkan untuk membuatnya? Pastinya ia diberi oleh mereka yang mempunyai kuasa.

“Namun apa paling mengejutkan ialah dokumen ini disediakan untuk Yang Arif (merujuk kepada Mohamed Zaini). Saya tidak rasa Yang Arif minta sebab Yang Arif sudah tahu semua kes perundangan yang dinyatakan.

“Pada para dua dokumen ini menyatakan bahawa ia ditetapkan untuk keputusan pada 7 Julai iaitu tarikh yang sudah ditetapkan oleh Yang Arif sebelum ini?

“Saya tertanya-tanya, apa yang sebenarnya terjadi? Dan di para terakhir dokumen ini meletakkan ia disediakan oleh ‘research unit’ (pasukan penyelidik).

Saya tidak rasa ia disediakan oleh seorang sahaja. Siapa mereka ini? saya rasa ia lebih dari seorang kerana dokumen menyatakan ‘We’ (kami-dokumen dalam Bahasa Inggeris).

“Terdapat bahaya yang nyata dan Yang Arif patut membuat pertimbangan kerana bimbang wujud ketidakadilan dan intregiti terkesan, disebabkan itu kami minta Yang Arif tarik diri.

Jagjit mendakwa dokumen yang dimaksudkan bukan palsu dan tidak difabrikasi.

Hakim: Jadi anda menyatakan bahawa draf penghakiman ini disediakan untuk saya?

Jagjit: Ya oleh pihak ketiga. Ia memberi bahaya yang nyata.

Hakim: Saya cuba memahami hujahan kamu iaitu saya hanya boleh menerima daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sahaja?

Jagjit: Ya.

Hakim: Anda lihat ini sebagai pendapat atau draf kehakiman?

Jagjit: Draf kehakiman.

Hakim: Adakah anda rasa saya akan guna?

Jagjit: Tidak.

Hakim: Tetapi anda takut saya akan guna?

Jagjit: Persepsi itu ada.

Sementara itu, Sri Ram dalam hujah balasnya berkata Rosmah bergantung kepada dokumen (draf kehakiman) dan artikel yang ditulis oleh Raja Petra Kamaruddin dalam permohonannya itu.

“Dia adalah penulis yang menulis ikut bagaimana dia dibayar. Dia adalah sampah! yang menyorok di United Kingdom. Jadi apa yang mereka bergantung ini? Ia tidak boleh dipercayai.

“Jika benar Yang Arif meminta pendapat daripada pasukan penyelidik, walaupun Yang Arif membacakan keputusan, ia mengikut urutan yang betul.

“Semua yang dibangkitkan oleh peguam bela dan tertuduh boleh dibuat melalui notis usul kepada Mahkamah Rayuan dan Yang Arif di sana boleh menentukkan sama ada ia benar atau salah.

“Rosmah tidak sewajarnya mempertikaikan integriti dan cara kerja kerja hakim. Oleh itu Yang Arif kami memohon supaya permohonan ini ditolak,” katanya.

Sri Ram sempat bertanya kepada pembelaan sama ada pihaknya akan mengemukakan permohonan itu jika keputusan mahkamah yang didakwa bocor itu berpihak kepada anak guamnya.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Poh Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Hari ini mahkamah terlebih dahulu mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu.

Permohonan saat akhir dikemukakan oleh Rosmah, 70, kelmarin atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lalu berhubung kebocoran keputusan hakim bagi kes itu yang disediakan oleh pihak lain dan bukannya hakim berkenaan.

Hari ini dijadualkan untuk keputusan kes rasuah Rosmah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Sumber: MyMetro

PALING POPULAR

To Top