Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyatakan kekesalan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.
Jelas Jawatankuasa Pemandu Bersih, pelantikan itu akan melemahkan semak dan imbang yang diperlukan bagi menjamin negara tidak kembali kepada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Kami kesal kerana Anwar telah melantik dirinya untuk memegang portfolio Kewangan yang mustahak, ianya akan melemahkan semak dan imbang.
“Semak dan imbang ini diperlukan bagi menjamin negara tidak kembali kepada zaman pentadbiran Najib Razak yang terpalit dengan isu 1MDB sehingga mebebankan negara,” jelas Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Bersih juga menyatakan kekecewaan apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023
Ujarnya, prinsip telah dikebelakangkan dengan pelantikan Zahid yang kini sedang menjalani perbicaraan 47 pendakwaan rasuah.
“Walaupun kami memahami politik disebalik pelantikan ini, ianya mengecewakan apabila prinsip telah dikebelakangkan.
“Kedua-dua pelantikan yang dipersoalkan ini mengancam usaha dan komitmen Anwar untuk melawan korupsi,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Bersih juga mengalukan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman sebagai Menteri Undang-Undang.
Bersih turut mengharapkan beliau akan memacu reformasi yang dijanjikan di dalam kedua-dua manifesto kedua-dua gabungan PH dan BN.
“Kami juga gembira Azalina adalah antara lima wanita yang dicalonkan untuk menerajui kementerian utama seperti Pendidikan, Kesihatan, Belia dan Suka serta Wanita dan Keluarga.
“Walaupun Kabinet ini mempunyai perwakilan wanita sebagai Menteri paling ramai, ianya masih jauh daripada kesetaraan gender dalam Kabinet,” katanya.
Menjadi harapan rakyat ujarnya bahawa kestabilan politik dapat diwujudkan dan semua parti termasuk pembangkang memainkan peranan konstruktif dalam pembentukan negara.
Sumber: Astro Awani