Umum

Hendak cepat antara alasan tidak pakai topi keledar

Rumah dekat sekolah dan hendak cepat antara alasan diberikan penunggang motosikal selepas ditahan polis dalam Operasi Didik di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pelek semalam.

Menerusi operasi yang menyasarkan penunggang motosikal, sebanyak 27 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan bermula 6.30 pagi hingga 8 pagi itu.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata seramai 41 penunggang membabitkan pelajar, 22 ibu bapa dan 58 motosikal diperiksa dalam operasi itu.

Menurutnya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (BSPT) Sepang itu bertujuan mendidik pelajar serta ibu bapa mengenai kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab memastikan keselamatan anak-anak yang menggunakan kenderaan ke sekolah sentiasa mematuhi peraturan dengan lesen yang sah dan memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul berkata, dalam operasi itu polis mengesan ibu bapa dan pelajar mengabaikan undang-undang lalu lintas terutama tidak memakai topi keledar.

Katanya, ada yang memberi alasan kediaman berhampiran dengan sekolah namun ia boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Operasi ini akan terus dijalankan bagi membendung aktiviti permotoran yang boleh membahayakan kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top