Umum

Polis buka kertas siasatan kenyataan berbaur perkauman

Polis membuka kertas siasatan berhubung pengguna TikTok yang menggunakan nama ‘fatinamyralee’ yang disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman mengenai sebuah konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata pada Selasa, polis menerima satu laporan berhubung video tular yang dimuat naik oleh pihak terbabit.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehingga kini percakapan saksi telah dirakam dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top