Nga Kor Ming selaku menteri perumahan dan ketua anggota parlimen DAP berkata, “Islam sebenar” yang adil dan penyayang tanpa mengira kaum makin subur.
Pemimpin kanan DAP itu memuji pentadbiran hal ehwal Islam bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam tulisan pendek di Twitter itu, beliau berkata “Perpaduan dalam kepelbagaian dan prinsip keadilan sosial untuk semua perlu kita dukung bersama,” dengan menggunakan tanda pagar #MalaysiaMadani #StrongerTogether (teguh bersama).
Islam sebenar yang bersifat adil dan penyayang tanpa mengira kaum kini semakin subur dibawah pimpinan YAB PM @anwaribrahim pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Perpaduan dlm kepelbagaian & prinsip keadilan social utk semua perlu kita dokong bersama. #MalaysiaMadani #StrongerTogether pic.twitter.com/Xtpnf3tx2M
— Nga Kor Ming (@NgaKorMing) February 20, 2023
Selain itu, beliau juga menyenaraikan beberapa kejayaan dalam pentadbiran Anwar setakat ini.
Antara perkara disenaraikannya dalam poster “Islam Progresif bersama PMX” itu, ialah peningkatan kuota haji, penggunaan Seri Perdana sebagai pusat ilmu, tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta usaha melahirkan golongan hafiz profesional.
DAP selama ini sering berdepan tuduhan anti-Islam oleh musuh politiknya, khususnya semasa musim pilihan raya.
Menafikan perkara itu, parti sekular itu juga semakin aktif merekrut aktivis dan calon Melayu dalam pilihan raya umum.