Umum

Syed Saddiq bela diri hari ini

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan memberi keterangan dalam prosiding hari pertama bela diri di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama bagi menjawab empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), yang dikenakan terhadapnya.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pasukan pendakwaan telah menerima pernyataan saksi pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu pada Sabtu lalu.

“Kami sudah bersedia dan setakat ini pihak pembelaan hanya menyerahkan satu pernyataan saksi iaitu kenyataan daripada Syed Saddiq,” katanya.

Selepas membaca dokumen itu, Syed Saddiq, 31, akan disoal oleh peguamnya dalam pemeriksaan utama disusuli pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Sinar Harian melaporkan, Syed Saddiq diperintahkan untuk membela diri atas empat pertuduhan tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan perkara berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pemimpin berkenaan.

Setelah mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya menetapkan 22 hingga 24 Februari; 13 dan 14 Mac serta 10 hingga 14 April ini untuk perbicaraan bela diri.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd Radzuan dan Mohd Shahrom Idris.

Pembelaan bagi pihak Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.

Ketika prosiding terdahulu, Gobind memberitahu mahkamah bahawa, pembelaan mungkin memanggil 15 saksi termasuk Syed Saddiq untuk memberi keterangan. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top