Umum

Jana Wibawa: Tengku Zafrul sudah beri keterangan kepada SPRM

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan beliau sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, beliau memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan pada petang Isnin (semalam).

“Saya berjumpa dengan pihak SPRM lewat petang semalam (Isnin) dan akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan.

“Oleh itu, saya mengucapkan terima kasih,” kata Tengku Zafrul dalam kenyataan yang dikongsi di akauan Facebook beliau pada Selasa.

Pada Sabtu lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengesahkan dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung projek Jana Wibawa.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, projek Jana Wibawa sebelum ini dikendalikan oleh pihak Kementerian Kewangan (MoF) dan setiap kelulusan perlu dibuat menerusi kementerian tersebut, bukannya diputuskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, MoF mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Hari ini pula, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta bagi projek berhubung inisiatif Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ahli Parlimen Gelugor itu juga didakwa meminta satu jumlah yang tidak ditentukan untuk projek jalan raya, ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta.

Turut didakwa Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Muhammad.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top