Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan peguam dalam rayuan seorang kerani wanita, Sam Ke Ting, terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkab kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Hisyam mengesahkan perkara itu kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan Sam dalam rayuannya. Sri Ram meninggal dunia pada 29 Jan lepas.
Pengurusan kes bagi rayuan Sam dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini.
Hisyam berkata pendengaran rayuan Sam akan diteruskan pada 31 Mac.
Hisyam, bersama Muhammad Faizal Mokhtar dan Harvinder Singh Sidhu mewakili Sam, menghadiri pengurusan kes itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Noor Hisham Jaafar hadir bagi pihak pendakwaan.
Peguam Harvinderjit Singh akan menjadi peguam bersama dalam rayuan Sam itu.
Pada 28 Okt 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan wanita itu tanpa memerintahkan membela diri terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.
Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin, 16.
Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret dan mengarahkan Sam untuk membela diri bagi pertuduhan memandu secara melulu.
Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu semula pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam pada akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.
Pada 13 April 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.
Sam mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara.
Mahkamah Rayuan juga telah membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.
— BERNAMA