Umum

Cikgu merupakan gologan penjawat awam paling ramai jadi mangsa sindiket di Johor

Golongan cikgu merupakan golongan penjawat awam yang paling ramai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau scammer di Johor sejak Januari hingga September tahun ini. Aktiviti sindiket ini dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah RM4.24 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika selesai merasmikan Program Town Hall ‘Ancaman Scammer Masa Kini’ berkata, faktor itu dipercayai berikutan terdapat komuniti guru yang besar di Johor dengan anggaran seramai 50,000 orang.

“Sebanyak 388 laporan berkaitan penipuan dalam talian diterima di Johor dalam tempoh tersebut melibatkan penjawat awam dengan 117 kes membabitkan guru.” katanya.

Beliau menjelaskan lagi bahawa scammer tidak memilih mangsa tetapi mungkin kerana ramai komuniti guru di sini.

“Menerusi town hall yang kita lakukan ini, kita didik, beri penerangan supaya dapat mengelakkan mereka menjadi mangsa.” katanya, merujuk kepada program yang melibatkan 250 guru di Wisma Bank Simpanan Nasional Johor itu.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, nilai kerugian bagi penipuan dalam talian membabitkan penjawat awam menunjukkan tren penurunan mendadak kepada RM10.02 juta, berbanding RM109.07 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Kamarul Zaman berkata, antara jenis sindiket penipuan dalam talian yang kini bergerak aktif adalah Macau scam, scam cinta, pekerjaan, bungkusan dan juga pinjaman dalam talian.

Pemahaman mengenai bentuk penipuan dalam talian perlu ditingkatkan menerusi pendidikan awam formal yang menyentuh ancaman scammer, termasuk kempen menerusi sekolah, kolej dan tempat kerja.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan akaun bank kepada pihak atau individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan diri menjadi mangsa keldai akaun.

Ia boleh diambil tindakan ditangkap walaupun mangsa tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan hanya memberikan akaun dia kepada sindiket.

PALING POPULAR

To Top