Umum

Ahmad Zahid berjaya peroleh pasport secara kekal

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

Ketika memutuskan demikian, Hanipah berkata, mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu, selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu, menolak permohonan pasport secara kekal.

“Setelah meneliti afidavit Ahmad Zahid selaku pemohon, mahkamah berpuas hati bahawa ia adalah bermerit maka permohonan ini dibenarkan,” katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob selaku responden tidak membantah permohonan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan itu.

Pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top