Umum

PMX pulang ke tanah air dari Arab Saudi, tak dapat jumpa Putera Mahkota

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi hari ini menganggap negara itu sebagai negara utama bagi Malaysia di Timur Tengah.

Bagaimanapun Anwar tidak dapat berjumpa dengan Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, YTM Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, YAM Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Ia merupakan negara luar ASEAN pertama dilawat secara rasmi oleh Anwar sejak menyandang jawatan Perdana Menteri ke-10, menurut laporan Bernama.

Bercakap pada sidang media di akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Arab Saudi pada Jumaat, Anwar berkata undangan daripada kerajaan Arab Saudi dalam tempoh yang singkat (selepas pelantikannya sebagai perdana menteri) amatlah beliau hargai.

Sehingga kini, Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Arab Saudi termasuk dalam urusan perniagaan, perbankan dan kegiatan Islam masih terjalin begitu baik.

Beliau berkata hubungan diplomatik kedua-dua negara yang akrab sejak dahulu itulah yang beliau mahu terus dapat dipertingkatkan.

Beliau juga berharap melalui hubungan baik ini, Malaysia dapat memperoleh manfaat daripada beberapa gagasan baharu Arab Saudi yang akan menjadikannya bukan sahaja sebagai markas Haji dan Umrah, tetapi juga tahap pemacuan keilmuan dengan Wawasan 2030 yang digagaskan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Sepanjang lawatan rasminya, beliau yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, antara lain sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam, di sini.

Beliau turut menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

Selain itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi

Beliau dan delegasi juga sempat melengkapkan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Mekah dan Madinah.

Anwar berkata pimpinan Arab Saudi juga sebenarnya telah memohon supaya beliau memanjangkan kunjungannya sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara yang baharu menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

“Saya sambut baik pandangan ini tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhi, termasuk pertemuan yang dijdualkan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, kerana dijadualkan esok untuk majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan sejurus selepas itu lawatan rasmi ke Kemboja,” katanya.

Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.

Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja, 27 Mac ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top