Umum

Bank Negara naikkan OPR kepada tiga peratus

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, menandakan kembalinya kepada kadar faedah sebelum pandemik.

Bank pusat itu berkata kadar siling dan tingkat lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

OPR mewakili kadar faedah minimum yang dikenakan di kalangan bank untuk pinjaman antara bank dan ia ditetapkan oleh BNM.

Ia antara alat yang digunakan bank pusat ini untuk menggubal dasar kewangan bagi mengawal bekalan wang negara dan mempengaruhi hala tuju ekonomi.

BNM pada satu kenyataan hari ini berkata perkembangan mutakhir menjurus kepada pengembangan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi pada suku pertama 2023, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, perbelanjaan isi rumah dan keadaan pasaran buruh yang lebih baik.

Walaupun inflasi dijangka menjadi sederhana, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan yang kukuh, katanya.

Dengan prospek pertumbuhan domestik yang kekal berdaya tahan, BNM berkata penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menunjukkan sudah tiba masanya untuk menormalkan lagi dasar kewangan negara.

Indeks harga pengguna pada Mac meningkat 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, kadar paling perlahan dalam sembilan bulan, menurut data kerajaan.

Bank pusat itu meramalkan inflasi secara purata antara 2.8 peratus ke 3.8 peratus pada 2023, berbanding 3.3 peratus pada tahun lepas.

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang empat peratus ke lima peratus pada tahun ini, kata BNM.

Sejak 2011 hingga 2019, OPR berkadar antara 2.75 peratus kepada 3.25 peratus. Namun bermula 2020, BNM mula menurunkan kadar itu di tengah wabak Covid-19 yang menjejaskan ekonomi global.

BNM sebelum ini berkata pengurangan OPR kepada 1.75 peratus ketika pandemik – terendah dalam sejarah – adalah untuk menyokong ekonomi ekoran wabak Covid-19 yang melanda.

Pengurangan itu membolehkan pinjaman yang lebih murah agar perniagaan mampu membuat bayaran untuk mengekalkan perniagaan mereka. Ia juga membantu perniagaan yang bermasalah dengan mengurangkan kadar pembayaran pinjaman mereka.

Namun dengan ekonomi domestik kian stabil, BNM memutuskan untuk mengurangkan sokongan ini.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top