Dua pemilik Crackhouse Comedy Club mendapat kebenaran mahkamah untuk meneruskan cabaran undang-undang terhadap langkah pihak berkuasa menyenarai hitam pendaftarkan perniagaan mereka di Kuala Lumpur serta mengembalikan semula lesen perniagaan berkenaan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini memberi kebenaran kepada Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram untuk memulakan semakan kehakiman berhubung senarai hitam dibuat ke atas kelab di Taman Tun Dr Ismail pada pertengahan tahun lalu.
Ketika dihubungi, peguam mereka Sangeet Kaur Deo mengesahkan kebenaran itu diberikan semasa prosiding di hadapan hakim Amarjeet Singh.
Untuk rekod kelab berkenaan dikenakan tindakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ekoran insiden seorang pesertanya membuat persembahan yang dianggap menghina Islam.
Siti Nuramira Abdullah – wanita yang melakukan kontroversi di kelab itu pada 4 Jun 2021 – sudah didenda RM8,000 atas kejadian berkenaan.
Dengan kebenaran yang diberi hari ini, mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan lisan daripada pihak berlawanan berhubung merit semakan kehakiman yang sepatutnya.
Semakan kehakiman untuk pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 6 Jun.
Pada 18 Ogos tahun lalu, Rizal dan Shankar menghantar surat undang-undang kepada DBKL berhubung laporan media mengenai lesen kelab itu yang ditarik balik, selain nama mereka diletakkan dalam senarai hitam kekal.
Menurut salinan semakan kehakiman yang difailkan pada 27 Nov di mahkamah tahun lepas, kedua-dua mereka menamakan DBKL dan datuk bandarnya masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Sumber: MalaysiaKini