Umum

Kenapa tergesa-gesa rayu keputusan bebaskan Muhyiddin, soal Bersatu

Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu menggesa Jabatan Peguam Negara menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin daripada tiga pertuduhan salah guna kuasa.

Timbalan pengerusi biro itu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata keputusan mahkamah yang diputuskan ketika peringkat awal kes menunjukkan pertuduhan berkenaan tidak kukuh.

Dia juga mengkritik keputusan Peguam Negara Idrus Harun yang merayu keputusan mahkamah pada hari yang sama, dengan mendakwa Idrus mengamalkan layanan berat sebelah.

“Mengapa perlu tergesa-gesa memfailkan rayuan tanpa mempertimbangkan terlebih dahulu alasan yang diberikan oleh mahkamah, yang telah jelas menyatakan bahawa sebuah persatuan iaitu parti politik tidak termasuk dalam kategori atau maksud organisasi atau persatuan di bawah Akta SPRM.

“Pendek kata, kes terhadap Muhyiddin adalah satu kegagalan, kes yang diwujudkan tanpa asas perundangan, dibangkitkan dengan niat jahat politik.

“Tindakan tergesa-gesa peguam negara untuk merayu (dalam keputusan) semalam adalah berbeza dengan cara AGC menangani pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sasha Lyna, yang merupakan seorang peguam, mendakwa bahawa AGC sebaliknya tidak bertindak tergesa-gesa dalam kes mahkamah Zahid, selain kes itu menunjukkan perkembangan yang amat perlahan.

Tambahnya, dia turut mempersoalkan kenyataan Idrus berhubung tiga lagi pertuduhan mahkamah terhadap Muhyiddin.

“Kenapa beriya-iya sangat? Ia bukan tanggungjawab AGC yang profesional untuk lakukan sedemikian terhadap lawan politik kerajaan.

“Peguam negara harus lakukan perkara yang sewajarnya, iaitu menggugurkan tiga pertuduhan lain terhadap Muhyiddin,” kata Sasha Lyna yang menyifatkan tiga lagi pertuduhan terhadap presiden Bersatu itu adalah tidak berasas.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin, yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa, adalah “cacat” dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan butiran yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009.

Manakala tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih kekal.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top