Umum

Tiada senarai hitam, pemilik Crackhouse tarik balik tindakan undang-undang

Kedua-dua pemilik Crackhouse Comedy Club telah menarik balik cabaran undang-undang mereka berhubung dakwaan senarai hitam terhadap kedua-dua mereka untuk mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur.

Peguam Pravin Mahentharan, yang mmewakili Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram, memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa mereka mendapat tahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya menarik balik permit ke atas kelab itu dan bukannya mengenakan hukuman senarai hitam.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk mendengar semakan kehakiman berhubung dakwaan senarai hitam yang dibuat berikutan persembahan kontroversi di kelab itu di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada pertengahan tahun lalu.

Siti Nuramira Abdullah, wanita yang melakukan persembahan kontroversi di kelab itu pada 4 Jun tahun lalu, telah didenda RM8,000 atas kejadian berkenaan.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan hakim Amarjeet Singh, Pravin menjelaskan bahawa mereka telah bercakap dengan DBKL pada bulan Julai dan mendapati bahawa tidak pernah ada senarai hitam seperti itu, dan pihak berkuasa hanya menarik balik permit Crackhouse Comedy Club.

Khalisa Badrul Amini, wakil undang-undang untuk DBKL dan datuk bandar, mengesahkan dengan Amarjeet mengenai apa yang telah berlaku.

Peguam itu menjelaskan afidavit lanjut yang difailkan DBKL mendedahkan bahawa tidak pernah ada sebarang senarai hitam perniagaan tetap terhadap dua pemilik kelab komedi itu.

Amarjeet kemudian membatalkan semakan kehakiman dan tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Apa yang didedahkan hari ini berbeza dengan apa yang dilaporkan oleh timbalan menteri wilayah persekutuan ketika itu Jalaluddin Alias pada 17 Ogos tahun lepas, di mana media memetiknya sebagai berkata Rizal telah disenaraihitamkan secara kekal daripada mendaftar lesen perniagaan di ibu negara.

Beberapa bulan kemudian pada 27 Nov berikutan kenyataan timbalan menteri ketika itu, pemilik kelab komedi itu merujuk ke mahkamah sivil untuk mencabar senarai hitam yang didakwa terhadap Rizal dan Shankar.

Secara kebetulan, berikutan kekecohan mengenai persembahan kontroversi itu tahun lepas, Rizal juga telah dibawa ke mahkamah jenayah di mana dia minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibuat terhadapnya kerana mencipta dan memulakan pengedaran video yang menyentuh sensitiviti kaum di media sosial.

Bagaimanapun pada 7 Julai tahun ini, mahkamah jenayah mendenda Rizal RM8,000, berikutan pengakuan bersalahnya terhadap salah satu daripada tiga pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top