Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar menfailkan saman fitnah terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung kenyataan dalam sidang media pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, Januari lalu.
Sidang media itu berhubung dakwaan Umno mengimport perwakilan daripada luar yang bukan perwakilan untuk mengundi usul supaya jawatan nombor satu dan dua tidak dipertandingkan.
Khairy memfailkan writ saman itu pada 24 Mei lalu melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel, menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am, perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di media sosial Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, pada PAU 2022 diadakan 14 Januari lalu, Jamal mengadakan sidang media di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur yang dihadiri pengamal media, perwakilan Umno dan beberapa ahli-ahli serta pemimpin Umno.
Khairy berkata, pada hari sama Jamal melalui akaun media sosial Facebook di bawah nama “DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)” memuat naik suatu rakaman video sidang video itu bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya.”
Katanya, Jamal juga memuat naik rakaman sama melalui akaun media sosial TikTok di bawah nama pengguna ”jamal_yunos”.
Khairy berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud, beliau pemimpin yang tiada integriti,seorang individu yang tiada kredibiliti untuk memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.
Katanya, ia turut membawa maksud beliau melaksanakan dan menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi dan tidak layak menjadi seorang pemimpin serta tidak setia kepada parti serta pemimpin parti.
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan pengurusan kes berkenaan esok di hadapan Timbalan Pendaftar Nik Nur Amalina Mat Zaidan.
Sumber: Harian Metro