Harga makanan ruji harian beras super spesial tempatan dan super spesial import rakyat di negara ini naik antara 10 hingga 15 peratus.
Desas-desus kenaikan harga beras itu berikutan dakwaan pemborong-pemborong beras mendakwa harga borong makanan ruji itu iaitu super spesial tempatan (SST) naik kepada RM2,250 bagi satu tan metrik berbanding RM1,200 pada 2021.
Kenaikan harga baharu itu sekali gus memberi kesan bukan sahaja kepada pemborong, pembekal serta peruncit malah kepada rakyat di negara ini yang merupakan pengguna akhir.
Ini sekali gus meningkatkan perbelanjaan bulanan bagi isi rumah yang kini sudah terbeban dengan kos bahan mentah lain.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai runcit serta pasar raya di negeri ini mendapati beras pelbagai jenama termasuk beras import naik antara 10 hingga 15 peratus daripada harga sebelum ini.
Harga beras SST dan import bagi 5 kilogram (kg) naik antara RM15.90 sehingga RM16.00 berbanding RM11.99 hingga RM13.99.
Harga beras bagi kampit 10kg naik antara RM32 hingga RM35 berbanding harga sebelum ini bermula RM28.
Seorang pengusaha restoran masakan panas Thailand, Azizin Inche Harun berkata, harga baharu itu dikesan meningkat sejak minggu lalu.
“Ya, harga beras sudah naik sejak minggu lalu, saya biasa tempah dengan pemborong dalam jumlah banyak, bila semak invois diterima harga sudah naik.
“Kalau sebelum ini beras 10kg kami dapat harga RM32 untuk beras super spesial tempatan sekarang harga naik kepada RM35.
“Terkejut juga, kita sebagai peniaga terpaksa menanggung kenaikan kos bahan mentah ini, setakat ini masih belum naikkan harga makanan di restoran, kita masih fikir soal persaingan, masih fikir pelanggan yang terbeban dengan pelbagai kos kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan,” katanya kepada Kosmo! semalam
Sementara itu, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya buat masa ini masih mengekalkan harga sama.
Namun katanya, stok beras tempatan berkurangan di pasaran hampir 50 peratus.
“Kekurangan stok beras terutamanya beras jenama tempatan dikesan sejak bulan lalu, kita buat tempahan dengan pembekal 1,000 kampit tetapi sampai stok dalam 200 kampit sahaja.
“Pembekal maklumkan antara faktornya ialah bekalan padi terkesan sebab kejadian banjir serta fenomena El-Nino, beras tak menjadi,” katanya.
Beliau berkata, bekalan stok beras jenama import masih banyak di pasaran dan harganya masih sama.
“Kita belum terima apa-apa makluman lagi berhubung isu kenaikan harga beras, setakat ini kita tak naikkan lagi, mungkin selepas ini ada kenaikan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Roslina Ismail, 41, berkata, dia juga terkejut dengan kenaikkan harga beras yang merupakan makanan harian masyarakat.
Ujarnya, perubahan harga baharu itu sekali gus memberi kesan terhadap perbelanjaan bulanan isi rumah yang sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang keperluan.
“Memang terkesanlah, itu makanan harian kita, setiap bulan kami yang ada lima ahli keluarga memang terkesan, kali ini beras pula naik.
“Sebelum ini pun perbelanjaan barang dapur pun cecah RM1,200 kini, barang sudah naik, boleh cecah RM1,500, itu belum dikira belanja lain seperti anak-anak sekolah, komitmen lain, bil elektrik pun naik,” katanya.
Isu kenaikan beras ini mula mendapat perhatian beberapa hari lalu apabila satu sumber mendedahkan, pemborong-pemborong beras mendakwa sudah mendapat surat daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai kenaikan harga borong beras tempatan (super spesial tempatan–SST) kepada RM2,250 bagi satu metrik tan.
Surat yang bertarikh 16 Jun 2023 itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Bahagian Pembangunan Industri Padi, Datuk Azman Mahmood.
Tambahnya, beliau percaya penjelasan kenaikan harga beras tempatan akan dibuat selepas perintah harga kawalan beras dipinda oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak lama lagi.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendakwa khabar angin yang mengatakan harga beras di negara ini akan mengalami kenaikan mulai bulan depan bukan berdasarkan keputusan kerajaan. – KOSMO! ONLINE