Umum

Dulu belanja dapur RM200, kini jadi RM500 sebulan

Kenaikan harga barangan basah me­runsingkan isi rumah apabila dulu mereka mendakwa berbelanja hanya RM200 sebulan tetapi kini mencecah RM500.

Anggaran perbelanjaan itu bagi isu rumah seramai empat orang susulan bahan mentah asas seperti sayur, ikan dan bahan memasak lain yang didakwa terus naik sekarang ini.

Tinjauan Kosmo! Ahad di Pasar Besar Jalan Othman di sini mendapati, beberapa bahan mentah dan sayur-sayuran sentiasa mengalami kenaikan harga me­nurut pengguna.

Seorang pembeli, Azila Zaidi, 47, mengakui semakin terbeban dengan kenaikan harga barangan basah itu.

Harga barang keperluan rumah dulu saya beli hanya dalam RM200 sahaja. Sekarang jumlah yang sama naik sehingga RM500,” katanya.

Menurut Arlay Jacob, 59, pula dia memerlukan perbelanjaan yang lebih besar bagi membeli bara­ngan mentah seperti ayam.

“Ayam seekor sekarang mahal. Seekor boleh cecah RM26. Kadang-kadang sebulan saya ber­belanja untuk enam ekor ayam sahaja boleh mencecah lebih RM130,” katanya.

Tambahnya, kenaikan harga ikan juga tidak kurang mahalnya.

“Sebelum ini harga ikan lagi mahal dari sekarang. Saya ber­syukur juga, ada sedikit penurunan harga tetapi tengok pada jenis ikan.

“Ikan pelaling dan ikan kembong sebelum ini mencecah sehingga RM30 sekilogram, sekarang turun sedikit kepada RM20 sekilogram.

“Bagi saya harga itu masih mahal tetapi apakan daya, kasihan juga pada peniaga,” jelasnya.

Turut mengeluh isu yang sama, Intan Kadir, 35, yang berkata, harga sayur-sayuran masih lagi tinggi terutama tomato.

“Saya penggemar sayur dan tomato. Saya memang terasa harga tu agak tinggi sekarang. Daripada RM3 sekilo jadi lebih RM5.

“Cili pun sama, dulu harga RM3 sekilogram tetapi sekarang mencecah sehingga RM7,” kata­nya!

Tinjauan juga mendapati bekalan bahan mentah seperti daging tiada masalah, kerana sentiasa ada dan harga pula masih lagi terkawal dan harga sentiasa stabil.

Sumber: Kosmo Online

PALING POPULAR

To Top