Umum

Saya takkan tinggalkan kamu, janji Zahid pada Anwar

Zahid Hamidi berjanji tidak akan meninggalkan Anwar Ibrahim bersendirian, sebaliknya akan terus mendukung semua hasrat perdana menteri, khasnya membasmi kemiskinan tegar.

Timbalan perdana menteri berkata, Anwar menjalankan tanggungjawab sebagai perdana menteri dengan sangat baik dan bekerja pantas.

“Semua yang dijanjikan ini bukan hanya retorika politik dan kami di pihak kerajaan melaksanakan dengan penuh iltizam kerana apa yang mahu dilakukan Anwar adalah terjemahan falsafah prinsip beliau hampir 30 tahun lalu.

“Selain itu, kita juga harus melihat pemimpin dan ulama bergabung serta saling bekerjasama yang mana setiap nasihat diberikan perlu berlandaskan al-Quran dan hadis.

“Justeru, kami mendukung cita-cita perdana menteri dalam memperkukuh budaya serta agama tanpa mengetepikan agama lain,” katanya menurut Harian Metro ketika berucap dalam program sentuhan kasih desa Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2, Gua Musang.

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, program hari ini bukan hanya mendekati rakyat kawasan bandar atau pekan, tetapi juga kawasan pedalaman bagi menyantuni setiap lapisan masyarakat.

“Kita turun padang tanpa mengira kumpulan sasaran serta mengetepikan warna politik, budaya dan kaum.

Apa yang penting, di bawah kepimpinan Anwar, kita mahu penyatuan pemikiran diterjemahkan dan ketepikan segala perbezaan dalam kalangan kita di seluruh negara.

“Sebagaimana kita tahu, Kelantan diperintah kepimpinan tidak sealiran dengan Putrajaya (kerajaan perpaduan), tetapi selama ini kerajaan tidak pernah putus membantu negeri ini, lebih-lebih lagi apabila negara diperintah Anwar yang sentiasa prihatin kepada rakyat di seluruh negara, termasuk Kelantan.”

Sumber: FMT

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top